-->

Monday 29 October 2012

[Kalam Ayahanda]


بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته


Mahasiswa dan mahasiswi yang dikasihi sekalian,


        Segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah s.w.t, Tuhan semesta alam. Selawat serta salam buat junjungan besar, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta seluruh muslimin dan muslimat.


        Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada seluruh Kepimpinan Mentor Council (MC), Majlis Perwakilan Mahasiswa Malaysia Jordan (MPMMJ) bagi sesi 2012/2013 atas usaha keras dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan amanah yang diberikan bagi memastikan program Smart Group di seluruh Jordan berjalan dengan baik dan lancar.


        Saya berharap dengan tertubuhnya Mentor Council (MC), program Smart Group ini dapat diselaraskan dengan lebih baik iaitu dengan mengambilkira kesesuaian waktu, penggunaan silibus yang sesuai serta kemantapan isu-isu yang dibicarakan. Program Smart Group yang diadakan bukan setakat sekadar menyediakan satu forum kepada mahasiswa untuk berbincang tentang isu-isu dan cabaran semasa, akan tetapi menuntut mahasiswa supaya menjadi lebih kritis dan informatif dalam membahaskan sesuatu perkara berdasarkan pengetahuan dan maklumat yang tepat. Adab dan bahasa yang digunakan ketika berbincang dan berhujah seharusnya berhemah lagi berhikmah agar apa yang disampaikan dapat dilakukan secara terhormat lagi konstruktif.


        Sebagai seorang yang berstatus mahasiswa, adalah amat penting bagi mahasiswa untuk membuka minda seluas-luasnya dengan mendengar, melihat, membaca dan meneliti setiap maklumat dan fakta yang datang daripada pelbagai sumber, seterusnya menggunakan justifikasi dan pertimbangan yang bijaksana dalam menyatakan kebenaran. Jangan sesekali terpengaruh dengan sesuatu perkara yang kita tidak tahu asal-usul, kebenaran dan kesahihannya, sebaliknya selidikilah dahulu secara ilmiah dengan pertimbangan yang wajar lagi ikhlas.


        Program ini juga diharapkan mampu meningkatkan ukhuwwah dan silaturrahim dalam kalangan pelajar Malaysia di Jordan di samping menjadi program perkongsian ilmu dan pengetahuan yang pintar. Berbahas dan berdebatlah secara ilmiah, raikan setiap pandangan dan idea, jangan ketepikan sebarang cadangan penyelesaian serta carilah konsesus walau sesusah mana sekalipun isu yang dibincang. Saya berkeyakinan jika program Smart Group ini dimanfaatkan dengan baik, maka ia mampu memberikan kekuatan minda dan fikiran kepada setiap pelajar yang mengikutinya dan yang lebih penting lagi ialah kekuatan dan kemajuan kepada agama, bangsa dan negara.


        Di kesempatan ini juga, saya menyeru kepada semua mahasiswa Jordan agar dapat memberikan komitmen yang jitu terhadap program Smart Group ini dengan melihatnya sebagai peluang yang terbaik dalam pembentukan sahsiah mahasiswa muslim yang lebih berketerampilan.


Sekian dan selamat berdiskusi.



Prof. Madya. Dr. Mohd Azidan Bin Abdul Jabar
Pengarah
Education Malaysia Jordan (EMJ)

0 comments:

Post a Comment